Saturday, March 13, 2010

MUTU PENGADILAN + SIKAP PEMAIN BOLA SEPAK MALAYSIA

TV1, 13 Mac, Penulis seperti biasa akan menunggu Sabtu malam Ahad untuk menyaksikan perlawanan bola sepak Liga Super lebih-lebih lagi melibatkan Pasukan Terengganu, walaupun penulis terpaksa akui, mutu permainan belum menunjukkan peningkatan. Seingat penulis, sewaktu dibangku sekolah lagi ketika dirumah penulis belum mempunyai televisyen, penulis berkunjung ke rumah atuk saudara semata-mata untuk menonton perlawanan akhir Piala Malaysia di antara Selangor vs Singapura pada tahun 1995. Tahun demi tahun, penulis mengikuti perkembangannya dan pada tahun Terengganu menjulang kemenangan Piala Malaysia 2-1 ke atas Perak pada tahun 2001. Pada tahun tersebut juga lah pertama kalinya penulis menjejak Stadium Bukit Jalil menyaksikan perlawanan akhir Piala Malaysia. Dan mungkin juga rekod kepada diri penulis kerana hampir kesemua perlawanan melibatkan pasukan Terengganu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, penulis hadir untuk menyaksikannya dan memberi sokongan padu kepada pasukan.

Ternyata pada malam ini, pertemuan Terengganu vs Pahang menunjukkan penguasaan padang oleh pasukan Terengganu dan berjaya mencapai kemenangan 2-0. Walaubagaimanapun, seperti kata pengulas, Hafizal bahawa terdapat keraguan yang boleh dipertikaikan terhadap pengendalian dan mutu pengadilan pada malam ini. Sudah pasti, Anuar Che Hussin harus dipertanggungjawabkan.

Beberapa insiden dan keputusan pengadil di lihat tidak profesional sehinggakan 3 penalti diberikan dalam perlawanan pada malam ini. Dan penulis membayangkan, pengadil seolah-olah mahu menebus kesilapannya apabila memberikan sepakan penalti kepada pasukan Pahang di saat-saat akhir perlawanan. Kemudian, memeranjatkan peminat bola sepak Malaysia juga pada malam ini adalah insiden pengadil juga dilaporkan pengulas, Rashid di Kedah. Apa sudah jadi ini? Suatu ketika dahulu isu ini pernah dibangkitkan dan apakah tindakan FAM selepas ini. Namun demikian, masih terdapat beberapa komponen penting lagi dalam bola sepak iaitu PEMAIN, JURULATIH dan PENGURUSAN PASUKAN.

Penulis tertarik untuk membicarakan soal SIKAP PEMAIN. Penulis tinggalkan persoalan kepada semua peminat. Adakah langkah mewajibkan pemain memasukkan baju ke dalam seluar sebelum memasuki padang sebagai syarat yang relevan lagi sekarang? Penulis melihat sikap pemain terutamanya pemain gantian, bukti jelas perlawanan pada malam ini, kesemua pemain gantian pada mulanya di luar padang, baju dimasukkan ke dalam seluar tetapi sebaik sahaja melangkah masuk ke padang, seolah-olah secara automatik, kedua-dua belah tangan akan menarik keluar baju dan terus berlari mengejar bola. Dimanakah sikap profesional seorang pemain?..

Seperkara lagi adalah, penulis membayangkan sudah sampai masanya, bukan lagi FAM dipersalahkan tetapi dasar/polisi mesti diubah. Jika benar kita inginkan Liga Profesional, kita perlu berubah berdasarkan perkembangan semasa. Berikut adalah cadangan perubahan yang dilihat efektif dan dilaksanakan di peringkat liga profesional antarabangsa disamping beberapa cadangan penambahbaikan terhadap pengendalian liga;

1. Jurulatih & Pengurus mestilah orang yang sama - kurang birokrasi/politik dalam persatuan
2. Semua Pasukan perlu dikorporatkan dengan mana-mana syarikat penaja utama contohnya kelab-kelab sedia ada KL Plus, Kedah NAZA, Telekom MELAKA, tetapi bukan hanya pada nama tetapi pengurusannya juga kerana terdapat pasukan yang terlalu banyak campur tangan politik
3. Hari Perlawanan seharusnya bukannya pada hari yang sama berlangsungnya perlawanan utama EPL
4. Pemain-Pemain Bola Sepak juga hendaklah diberikan kelas intensif sekurang-kurangnya pada tahap Diploma Sains Sukan supaya penjanaan pemikiran berlaku disamping menyediakan seorang pemain yang berilmu pengetahuan - Keadaan ini jelas dibuktikan kemampuan Pasukan Hoki Malaysia ketika Mirnawan Nawawi menjadi Kapten. Pemain-Pemainnya terdiri daripada graduan Kejuruteraan, Akauntan dsbgnya.

ZF Al-Amr
Bekas Pemain Hoki & Bola Sepak SK Tok Jiring
Bekas Pemain Hoki & Atlet Olahraga SMKA Tok Jiring
Bekas Pemain Hoki & Atlet Olahraga SMT Kuala Kangsar
Bekas Atlet Olahraga KUiTTHO (UTHM)